Sejarah Muzium
Galeri Sultan Azlan Shah
Maklumat dan bahan-bahan peribadi milik DYMM Sultan Azlan Shah
Galeri Sultan Azlan Shah dirasmikan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 9 Disember 2003. Galeri yang tersergam indah ini telah dibaikpulih dari istana lama iaitu Istana Ulu yang mula dibina pada tahun 1898 dan siap pada tahun 1903. Istana ini pada asalnya pernah menjadi tempat persemayaman tiga orang Sultan Perak iaitu Almarhum Sultan Idris Murshidul ‘Adzam Shah I, Almarhum Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah dan Almarhum Sultan Yussuf Izzudin Shah.
Kini ia merupakan sebuah galeri yang merakamkan sejarah dan peristiwa penting perjalanan hidup DYMM Sultan Azlan Shah bermula dari zaman kanak-kanak sehinggalah dimasyhurkan sebagai Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak yang ke-34 dan juga sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-9.
Galeri ini adalah satu pendekatan terbaik kepada rakyat untuk mengenali secara lebih mendalam seorang Raja yang berdaulat serta meningkatkan fahaman dan apresiasi rakyat terhadap Institusi Raja Berperlembagaan.
Kemegahan dan keagungan Galeri ini memperlihatkan senibina bercirikan kolonial dan tempatan. Bahagian bumbungnya berbentuk limas menggunakan pengaruh Aceh sementara di bahagian kubah di kedua-dua menara bangunan adalah pengaruh dari India.
Kebanyakan bahan binaan dibawa dari luar negara iaitu atap dari Perancis dan jubinnya pula dari Itali. Begitupun, banyak bahan tempatan yang digunakan seperti kerangka bumbung dari kayu cengal dan ukiran dari kayu meranti yang terbaik.
PENCAPAIAN
- Anugerah Pelancongan Terbaik Malaysia 2005-2006 Kategori Tarikan Pelancongan Terbaik Warisan.
- Anugerah Pelancongan Terbaik Negeri Perak 2007 Kategori Exciting Tourist Attractions.
- Anugerah Pegawai Daerah Kuala Kangsar 2007 Kategori Tarikan Pelancongan Terbaik Warisan dan Tarikan Pelancongan Menarik.
- Anugerah Pelancongan Malaysia (Best Tourist Attraction) Tahun 2004 – Anugerah Merit (Merit Award).
Galeri ini mempamerkan maklumat dan bahan-bahan peribadi milik DYMM Sultan Azlan Shah. Ia diperagakan dengan teratur dan sistematik di setiap ruang pameran. Bahan-bahan yang dipamerkan dibahagikan kepada beberapa tema :
- Salasilah DiRaja
- Keluarga DiRaja
- DYMM semasa zaman persekolahan / remaja
- Kronologi kerjaya DYMM dalam bidang perundangan
- Istiadat Pertabalan
- DYMM sebagai Sultan Perak yang ke-34
- DYMM sebagai SPB Yang Dipertuan Agong ke-9
- DYMM sebagai tokoh sukan DYMM sebagai Kolonel Diraja Kor
- Rejimen Askar Jurutera Diraja
- Sambutan Jubli Perak Ulangtahun ke-25 Pemerintahan DYMM sebagai Sultan Perak yang ke-34
- Alat-alat Kebesaran Negeri Perak
- Nobat dan peralatannya
- Balairong Seri Istana Iskandariah dalam bentuk diorama
- Koleksi keris
- Koleksi kereta DYMM
- Koleksi cenderamata