Sejarah Galeri
Galeri Rumah Lat
Y.Bhg Dato’ Mohd Nor Bin Khalid atau Dato’ Lat
Y.Bhg Dato’ Mohd Nor Bin Khalid atau Dato’ Lat telah dilahirkan di Kota Bharu, Perak pada 5 Mac 1951. Sebagai anak jati Perak, Lat telah membina nama yang kukuh dalam bidang karikatur. Penglibatan dan sumbangan beliau diiktiraf oleh negara dan dunia antarabangsa. Sebagai seorang kartunis yang prolifik, beliau menghasilkan karya setaraf pelukis-pelukis kartun terkemuka dunia. Selain dapat menggambarkan pengalaman hidupnya, karya-karya Lat seperti Kampung Boy mencerminkan nilai budaya Melayu desa yang halus, rasa kasih sayang, kekeluargaan serta erti persahabatan di kupas Lat dengan begitu baik menerusi gaya yang sensitif terhadap landskap dan dunia persekitaran.
Karya Lat memaparkan masyarakat majmuk Malaysia serta keluarga di desa dan kota dengan wajah, telatah dan watak tersendiri. Di atas sumbangan beliau yang berterusan ini, Galeri Rumah Lat dibina bagi mengenang jasa beliau dan memastikan segala hasil karya yang bernilai tinggi ini dapat dipamerkan disebuah tempat yang lebih khusus malah hasil karya beliau dapat disimpan kekal untuk tatapan seta rujukan generasi akan datang. Projek Galeri Rumah Lat ini telah pun diluluskan oleh Kementerian Pelancongan di bawah RMK-11. Galeri Rumah Lat telah diserahkan kepada kerajaan Negeri Perak melalui Lembaga Muzium Negeri Perak untuk menguruskan operasinya.
PEMBINAAN GALERI RUMAH LAT INI MELIBATKAN ELEMEN ELEMEN SEPERTI BERIKUT :
a) Sejarah, keunikan dan kehebatan Lat sebagai kartunis negara.
b) Pembinaan rumah dan tatahias yang menonjolkan keunikkan rumah tradisonal Perak-Rumah-Limas Bumbung Lima.
c) Pembangunan koleksi dan bahan maklumat yang akan dipamerkan
d) Bahan-bahan sokongan dengan teknik pameran yang menarik
e) Rekabentuk hiasan dalaman yang menggambarkan Lat sebagai seorang kartunis terkenal.
PENGURUSAN GALERI RUMAH LAT
Galeri Rumah Lat diletakkan di bawah pentadbiran Lembaga Muzium Negeri Perak yang akan menentukan dasar dan perjalanan pengurusannya termasuk memelihara dan mempamerkan karya-karya kartunis Lat. Keluasan tapak Galeri dan Rumah Lat ini adalah seluas 4493 meter persegi. Keluasan tapak ini termasuk pembinaan Rumah Lat, Galeri Lat dan rizab simpanan jalan Bahan Pameran di Galeri Lat tertumpu kepada hasil lukisan dan tulisan sepanjang kerjaya Dato Lat selaku kartunis. Sementara Rumah Lat pula akan menempatkan barangan peribadi termasuk koleksi keluarganya.
TUJUAN PENUBUHAN
1) Menyediakan kemudahan penyelidikan dan rujukan untuk penggiat seni dan berfungsi sebagai pusat pendidikan seni.
2) Mewujudkan satu lagi tarikan destinasi pelancongan dari aspek pelancongan seni (karikatur) dan membantu mengembangkan sektor pelancongan Negeri Perak khusunya dan Malaysia amnya.
3) Memberi penghormatan kepada Dato Lat sebagai tokoh Negeri Perak atas sumbangannya dalam bidang karikatur
4) Menyediakan kemudahan repositori untuk koleksi Lat.
OBJEKTIF PENUBUHAN
- Mengetengahkan elemen seni bina Melayu serta suasana sosial budaya perkampungan yang melatari perjalanan seni lukis karikatur Lat
- Sebagai produk baru tarikan pelancongan dalam dan luar negara yang berkonsepkan seni bina Melayu dan karikatur.
- Menarik minat dan mengembangkan bakat generasi muda dalam bidang seni karikatur di samping melahirkan generasi pelapis yang berketerampilan.
- Menjadi inspirasi dan rujukan generasi pelukis karikatur khasnya dan pengunjung amnya dalam memahami dan menghayati seni dan mesej dalam hasil kerja karikatur Lat.
- Selaras dengan dasar kerajaan untuk menjadikan sektor pelancongan yang boleh memberi pulangan yang besar terutama dalam mengetengahkan budaya dan warisan.
Galeri Lat merupakan sebuah bangunan konkrit satu tingkat yang menempatkan ruang pameran karya Dato’ Lat, para kartunis tanah air dan pelukis komik baru dan lama. Ruang anjung merupakan bahagian pameran Kartunis Dato’ Lat yang mempamerkan koleksi lukisan terpilih karikaturnya dari tahun 1962, biografi Dato’ lat serta ruang untuk mengadakan bengkel seni lukis kartun
Rumah Lat merupakan rumah Melayu berbumbung 5 atau Rumah Limas potongan perak yang di bina menggunakan kaedah seni bina tradisional. Pembinaannya mempamerkan rumah yang berasaskan sosio budaya setempat dengan keperluan dan keadaan cuaca yang wujud di sekeliling menggunakan bahan-bahan tempatan.