Kompleks Sejarah Pasir Salak

Tragedi berdarah pembunuhan James Wheeler Woodford Birch, Residen Inggeris pertama di Perak (1874-1875) pada 2 November 1875 ketika umat Islam menyambut Aidilfitri kedua telah melakar nama Pasir Salak di dalam lipatan sejarah. Pembunuhan Birch merupakan kemuncak kebangkitan dan penentangan orang Melayu terhadap penjajahan Inggeris di Perak.

Implikasi dari kebangkitan Pasir Salak ini telah menyemai benih serta mencetuskan semangat nasionalisme yang bangkit pada tahun 1946 untuk menentang Malayan Union dan seterusnya meniup api perjuangan sehingga tercapai kemerdekaan negara pada tanggal 31 Ogos 1957.

Menyedari hakikat betapa pentingnya rentetan peristiwa berdarah ini, maka tertubuhlah Kompleks Sejarah Pasir Salak sebagai satu memorial penting sejarah terbilang Pasir Salak. Ia juga menghargai serta mengabadikan jasa dan pengorbanan para pahlawan yang gigih mempertahankan maruah bangsa dan negara.

Kompleks ini telah dibuka oleh DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada 26 Mei 1990 dan dirasmikan sepenuhnya oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 5 Julai 2004.

Konsep asal penubuhannya merupakan satu bentuk rakaman sejarah yang memperingatkan betapa pentingnya peristiwa berdarah Pasir Salak yang dianggap sebagai asas permulaan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

Rentetan-rentetan peristiwa sejarah dipamerkan di dalam Terowong Sejarah dengan menggunakan teknik pameran diorama iaitu pameran tiga dimensi. Setiap peristiwa dan episod penting dalam sejarah tanah air serta perkembangannya disusun dan disampaikan mengikut kronologi sejarah. Selain itu Kompleks ini juga merupakan sebuah pusat yang menyediakan sumber rujukan mengenai sejarah dan kebudayaan negeri Perak.

Kompleks yang dibina secara berperingkat ini turut diperlengkapkan lagi dengan pembinaan monumen dan bangunan seperti Rumah Kutai I yang dibina sekitar tahun 1896, Rumah Kutai II, Tugu Lela Rentaka, Pentas Belotah, Tugu Peringatan Pahlawan Perak, Galeri Keris dan Galeri Sejarah Menteri-Menteri Besar Perak.

Turut terdapat di kompleks ini adalah Tugu Peringatan J.W.W Birch yang dibangunkan oleh kerajaan Inggeris sekitar tahun 1900 bagi memperingati peristiwa pembunuhan Birch di Pasir Salak.

Pengunjung bukan sahaja dapat menyelusuri sejarah perjuangan pahlawan Melayu dalam menentang penjajahan Inggeris malah dapat melihat keindahan estetika senibina Melayu Perak yang merupakan salah satu antara mercu tanda bagi negeri ini.

PENCAPAIAN
- Johan Pertandingan Landskap dan Kibar Jalur Gemilang Bagi Kategori Bangunan Kilang / Resort dan Bangunan Swasta Peringkat Daerah Perak Tengah Tahun 2007

Waktu Lawatan

Galeri:-
Selasa - Ahad

10.00 pagi - 4.00 petang
Isnin
Ditutup untuk disinfeksi awam

Pejabat:-
Isnin - Jumaat

8.00 pagi - 5.00 petang

Lokasi

Kampung Gajah, 36800 Pasir Salak, Perak Darul Ridzuan

No. Telefon : +605-631 1462
No. Faksimili : +605-631 3246

icon gmap   icon gmap

Bayaran Masuk

Dewasa
RM4.00

Kanak-Kanak * 7-12 tahun
RM2.00
DSC 0440
DSC 0458
DSC 0474
DSC 0486
DSC 0488
DSC 0493
DSC 0532
DSC 0536
DSC 0540
DSC 0552
DSC 0561
DSC 0567
bahasa sharing button English
faq sharing button Soalan Lazim
hubungi sharing button Hubungi Kami
aduan sharing button Maklum Balas
sitemap sharing button Peta Laman