Sejarah Muzium
Komplek Sejarah Pasir Salak
Kebangkitan dan penentangan Orang Melayu terhadap Penjajah British
Tragedi berdarah pembunuhan James Wheeler Woodford Birch, Residen British pertama di Perak (1874-1875) pada 2 November 1875 ketika umat Islam menyambut Aidilfitri kedua telah melakar nama Pasir Salak di dalam lipatan sejarah. Pembunuhan Birch merupakan kemuncak kebangkitan dan penentangan orang Melayu terhadap penjajahan British di Perak.
Implikasi dari kebangkitan Pasir Salak ini telah menyemai benih serta mencetuskan semangat nasionalisme yang bangkit pada tahun 1946 untuk menentang Malayan Union dan seterusnya meniup api perjuangan sehingga tercapai kemerdekaan negara pada tanggal 31 Ogos 1957.
Menyedari hakikat betapa pentingnya rentetan peristiwa berdarah ini, maka tertubuhlah Kompleks Sejarah Pasir Salak sebagai satu memorial penting sejarah terbilang Pasir Salak. Ia juga menghargai serta mengabadikan jasa dan pengorbanan para pahlawan yang gigih mempertahankan maruah bangsa dan negara.
Fasa pertama kompleks ini telah dirasmikan oleh DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada 26 Mei 1990 manakala perasmian fasa keseluruhannya telah disempurnakan oleh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Sultan Perak ke-34 pada 5 Julai 2004.
Konsep asal penubuhannya merupakan satu bentuk rakaman sejarah yang memperingatkan betapa pentingnya peristiwa berdarah Pasir Salak yang dianggap sebagai asas permulaan pra demokrasi di Tanah Melayu.
Rentetan-rentetan peristiwa sejarah dipamerkan di dalam Terowong Sejarah dengan menggunakan teknik pameran diorama iaitu pameran tiga dimensi. Setiap peristiwa dan episod penting dalam sejarah tanah air serta perkembangannya disusun dan disampaikan mengikut kronologi sejarah. Selain itu kompleks ini juga merupakan sebuah pusat yang menyediakan sumber rujukan mengenai sejarah dan kebudayaan negeri Perak.
Kompleks yang dibina secara berperingkat ini turut diperlengkapkan dengan pembinaan monumen, tugu dan bangunan seperti baik pulih Rumah Kutai I yang dibina sekitar tahun 1896, pembinaan Rumah Kutai II, Tugu Lela Rentaka, Pentas Belotah, Tugu Peringatan Pahlawan Perak, Galeri Keris dan Galeri Sejarah Menteri Besar-Menteri Besar Perak.
Turut terdapat di kompleks ini adalah Tugu Peringatan J.W.W Birch yang dibina oleh Ernest Woodford Birch, Residen British ke-8. Ia dibina sekitar tahun 1900 bagi memperingati peristiwa pembunuhan Birch di Pasir Salak.
Pengunjung bukan sahaja dapat menyelusuri sejarah perjuangan pahlawan Melayu Perak dalam menentang penjajahan British malah dapat melihat keindahan estetika senibina Melayu Perak yang merupakan salah satu mercu tanda bagi negeri ini.