Hubungi Kami

Lokasi: Utama > Muzium DiRaja Kuala Kangsar > Istana Hulu


Istana Hulu

Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Istana Hulu atau disebut Istana Kota terletak di Bukit Chandan, merupakan istana konkrit yang pertama dibina di Negeri Perak. Istana ini kepunyaan Almarhum Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke 28 (1887-1916). Ia mula dibina pada tahun 1889 dan siap pada tahun 1903. Pada tahun 1916, istana ini diduduki oleh anaknda baginda, Almarhum Sultan Abdul Jalil. Dua tahun kemudian, istana ini telah diduduki pula oleh putera baginda iaitu Sultan Yussuff Izudin Shah, Sultan Perak ke 32 (1948-1963).

Dalam tahun 1954, Istana Hulu ini telah dimiliki oleh Kementerian Pelajaran, dan dalam tahun 1957, bangunan ini di gunakan sebagai sekolah yang dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Istana Kota. Pada tahun 1970, Sekolah Kebangsaan Istana Kota ditukar dengan nama Sekolah Raja Perempuan Muzwin, iaitu mengambil sempena nama DYMM Raja Perempuan Perak iaitu Raja MuzwinBinti Raja Ariff. Pada tahun 1996, Sekolah Raja Perempuan Muzwin telah mendapat bangunan barunya yang berhampiran dengan kawasan ini. Bangunan istana yang ditinggalkan ini telah dicadangkan untuk di jadikan Galeri Sultan Azlan Shah.