Hubungi Kami

Lokasi: Utama > Muzium Darul Ridzuan > Sejarah Ringkas


Sejarah Ringkas

Bangunan Muzium Darul Ridzuan

Bangunan Muzium Darul Ridzuan ini terletak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh berhampiran dengan bangunan Pejabat Setiuasaha Kerajaan Negeri Perak. Bangunan ini telah dibina pada tahun 1926 oleh Foo Choong Yit, iaitu seorang pengusaha lombong berbangsa Cina. Beliau telah membina banglow ini untuk dijadikan kediaman beliau bersama-sama keluarganya. Menurut dari sumber lisan juga dinyatakan bahawa tapak tanah di mana bangunan ini didirikan, pernah menjadi sebahagian daripada perkampungan orang Melayu dan pembesar-pembesar di tebing Sungai Kinta. Oleh kerana pada masa itu berlaku satu banjir yang terbesar sekitar tahun 1926 maka orang-orang Melayu yang menduduki di sekitarnya telah menjual tanah mereka ini kepada pendatang lalu berpindah beramai-ramai, di antara tapak tanah yang terjual itu adalah tapak di mana bangunan ini didirikan.


Galeri Seni Darul Ridzuan

Bangunan yang memiliki ciri-ciri rekabentuk British ini masih berkeadaan yang asal dan dahulunya beralamat No 17, Jalan Douglas ( pada masa itu ) mempunyai lapan buah bilik di tingkat atas dan dua bilik di tingkat bawah. Di bahagian belakang bangunan ini terdapat empat buah bilik yang menempatkan tukang masak, pemandu, tukang kebun dan tukang gunting.

Di kawasan tanah yang seluas kira-kira empat ekar di mana terletaknya bangunan ini terdapat dua buah kubu perlindungan daripada serangan udara ( airaid shelter ) yang dibina pada tahun 1940 bagi perlindungan kepada lebih kurang 40 orang penghuni bangunan ini dan pekerja-pekerja yang tinggal di persekitarannya. Kubu-kubu perlindungan udara ini dibina dari batu-bata dan simen konkrit yang tebal dibina sebagai persiapan untuk menghadapi serangan udara dari tentera Jepun. Menjelangnya Peperangan Dunia Kedua, sebuah daripada kubu perlindungan ini ditempatkan di belakang bangunan muzium ini di mana mempunyai terowong bawah tanah sepanjang kira-kira 50 kaki dan 20 kaki. Menurut anak lelaki Foo Cheong Yit, kubu perlindungan udara ini telah digunakan sebanyak dua kali iaitu ketika kapal terbang Jepun berlegar di udara sekitar tahun 1941.

Pada tahun 1950, bangunan ini telah dijual kepada Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan untuk dijadikan pejabat dan didaftarkan oleh Jabatan Kerja Raya (PWD), dan secara kebetulan nombor pendaftarannya ialah 2020. Kemudian bangunan ini dijadikan ibu pejabat Home Guard Negeri Perak sehingga tahun 1957. Setelah kemerdekaan dicapai, bangunan ini telah dijadikan sebuah pejabat Kerajaan iaitu sebagai Pejabat Suruhanjaya Awam (SPA) Negeri Perak yang bertempat di tingkat atas dan di bahagian bawahnya pula dijadikan Pejabat Kemajuan Negeri Perak ( KEMAS). Setelah Bangunan Kompleks Islam siap dibina sepenuhnya pada awal tahun 1989, SPA telah dipindahkan ke Kompleks tersebut dan KEMAS pula dipindahkan ke Bangunan Sri Kinta.

Sejarah penubuhan Muzium Darul Ridzuan bermula dari rancangan untuk menubuhkan sebuah muzium yang pertama di Bandaraya Ipoh pada 27 hb Januari 1989, oleh satu jawatankuasa yang telah dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu. Tujuan penubuhan muzium ini adalah untuk memelihara sejarah perlombongan dan perhutanan di Bandaraya Ipoh bagi menyimpan dan mengekalkan segala warisan sejarah yang ditinggalkan oleh perusahaan perlombongan bijih timah dan perusahaan hasil perhutanan. Konsep penubuhan muzium juga adalah berlandaskan kepada evolusi Bandaraya Ipoh yang kukuh berdiri hasil daripada perlombongan bijih timah dan kayu-kayan suatu masa dahulu.

Pada awal tahun 1991, bangunan ini telah mula diubahsuai rekabentuk dalamannya dan diberi nama Muzium Darul Ridzuan. Pada 18 Ogos 1992, Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah telah merasmikan pembukaan Muzium Darul Ridzuan ini dengan sepenuhnya.