Bangunan Muzium
Pada 25 November hingga 25 Disember 1991, satu projek penelitian sejarah Beruas telah dijalankan dan diusahakan oleh satu kumpulan penyelidik dari Muzium Negara, Kerajaan Negeri Perak dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang dirasmikan oleh Y.A.B Menteri Besar Perak ketika itu.
Hasil dari projek penelitian ini beberapa artifak-artifak sejarah telah ditemui. Artifak-artifak ini disimpan oleh Muzium Negara. Pihak jabatan Muzium merasakan kesemua penemuan tersebut perlu ditempatkan di sebuah Muzium yang dinamakan Muzium Beruas, sementara kajian-kajian seterusnya dibuat dari semasa ke semasa.
Muzium Beruas ini ditempatkan disebuah bangunan Mahkamah lama ( sebelumnya Pejabat KEMAS kawasan Beruas). Kerja-kerja pemuliharaan bangunan ini telah siap dijalankan pada awal tahun 1995 yang dibiayai oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia melalui Jabatan Muzium dan Antikuiti menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia ke-6
Penyerahan Muzium
Pada 23 Mei 1995, Muzium Beruas dengan rasminya diserahkan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Muzium Negara kepada Y.B Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Muzium Beruas telah dibuka kepada orang ramai pada Julai 1995 dan telah dirasmikan Y.A.B Menteri Besar Perak Darul Ridzuan Tan Sri Dato' Seri DiRaja Ramli Bin Ngah Talib ketika itu.
Muzium Darul Ridzuan




