Rumah Kediaman DYMM Sultan Azlan Shah

Rumah berdaftar P.W.D. 37 yang terletak di Jalan Aman, Batu Gajah ini merupakan rumah kediaman Sultan Perak yang ke-34, iaitu Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu–lah semasa zaman persekolahan sehingga Disember 1949.

Di rumah ini, DYMM Sultan Azlan Shah dibesarkan oleh bondanya Almarhum Hajah Hatijah binti Dato' Seri Dewangsa Ahmad bersama-sama kekanda baginda Almarhum Raja Baharom. Rumah ini banyak meninggalkan kenangan buat Baginda dan keluarganya. Maka pada tahun 2008, rumah ini dipulihara dan dipelihara serta dijadikan sebagai sebuah galeri yang mempamerkan gambar-gambar dan maklumat mengenai DYMM dari zaman kanak-kanak sehingga remaja.

Struktur rumah ini masih dikekalkan sama seperti ciri binaan asal yang terdiri daripada dua buah struktur bangunan yang terpisah iaitu rumah dan dapur. Bangunan utama dijadikan ruang pameran manakala bangunan dapur pula dijadikan pejabat untuk kakitangan. Ruang pameran dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu bermula dengan ruangan salasilah keluarga, zaman persekolahan, aktiviti sukan dan olahraga serta perkembangan terkini.

Ruang pameran salasilah keluarga memaparkan gambar-gambar DYMM bersama-sama ayahanda, bonda dan kekanda. Ruangan zaman persekolahan memaparkan gambar-gambar kenangan DYMM ketika memasuki zaman persekolahan bermula di Sekolah Melayu Batu Gajah, Government English School (kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Sultan Yussuf) dan seterusnya di Maktab Melayu Kuala Kangsar sebelum melanjutkan pengajian ke Nottingham dalam jurusan Undang-undang di Universiti Nottingham pada tahun 1949. Ruangan aktiviti sukan memaparkan koleksi gambar DYMM bersama rakan-rakan ketika mewakili sekolah dalam aktiviti-aktiviti sukan yang digemari seperti hoki, kriket, badminton dan juga olahraga.

Rumah ini terletak bersebelahan dengan Penjara Batu Gajah dan berhampiran dengan jabatan-jabatan kerajaan yang lain seperti Hospital Batu Gajah, Majlis Daerah Batu Gajah serta Pejabat Daerah dan Tanah Kinta. Jarak perjalanan dari Ipoh hanya 24 kilometer dan mengambil masa perjalanan kira-kira 30 minit.

Waktu Lawatan

Isnin-Khamis
9.30 pagi - 5.00 petang

Jumaat
9.30 pagi - 12.15 tengahari
2.45 petang - 5.00 petang

Sabtu, Ahad & Kelepasan Am
Tutup

Lokasi

37 Jalan Aman, 31000 Batu Gajah, Perak Darul Ridzuan

No. Telefon : +605-365 3236
No. Faksimili : +605-365 3619

icon gmap   icon gmap

Bayaran Masuk

Percuma
DSC 0639
DSC 0604
DSC 0624
DSC 0581
DSC 0585
DSC 0591
bahasa sharing button English
faq sharing button Soalan Lazim
hubungi sharing button Hubungi Kami
aduan sharing button Maklum Balas
sitemap sharing button Peta Laman