Saiz Teks

MUZIUM DIRAJA KUALA KANGSAR

SEJARAH DAN LATAR BELAKANG

Muzium DiRaja Kuala Kangsar (dahulunya dikenali dengan nama seperti Istana Kenangan, Istana Lembah dan Istana Tepas) telah didirikan oleh tukang kayu Melayu yang bernama Haji Suffian dengan dibantu oleh dua orang anaknya, Zainal Abidin dan Ismail pada tahun 1926. Mereka ini   berasal dari Seberang Prai.

Istana ini dibina atas titah Almarhum Sultan Iskandar Shah (Marhum Kadasallah) iaitu Sultan  Perak ke-30 sebagai tempat bersemayam sementara. Ini disebabkan ketika itu Istana Iskandariah masih lagi dalam pembinaan. Almarhum Sultan Iskandar Shah bersemayam di  Istana Kenangan ini mulai dari tahun 1931 hingga  1935.  Setelah baginda berpindah ke Istana Iskandariah, ia dijadikan Istana Tetamu terutama pada hari-hari perayaan Diraja seperti Hari Keputeraan, pelantikan Orang-orang Besar Perak dan lain-lain istiadat Diraja Perak Darul Ridzuan.

Istana Kenangan melambangkan senibina Melayu tradisional yang mengkagumkan. Pembinaan Istana Kenangan ini keseluruhannya menggunakan kayu jenis keras, berdindingkan tepas dan beratapkan kayu papan (kayu belian) bercirikan perabung lima dan pisang sesikat. Paku-paku besi (paku logam) tidak digunakan dalam pembinaan Istana Kenangan ini. Istana ini dihiasi dengan ukiran-ukiran Melayu yang menarik dan menggunakan tepas yang dianyam dengan corak-corak anyaman Melayu tradisional.

Bangunan ini dibina di atas 60 batang tiang yang mana panjangnya lebih kurang 41 meter dan lebarnya 11 meter. Bentuk bangunan ini  jika dipandang dari udara kelihatan seperti sebilah pedang yang tersimpan di dalam sarungnya. Bahagian tengah di atas bangunan ini ditempatkan sebuah singgahsana dan di tingkat bawah pula dijadikan sebagai pejabat rasmi baginda. Ruangan di tingkat bawah ini berlantaikan  simen dan bahagian sekelilingnya ditutup dengan bidai.

Nama Istana Kenangan telah diberikan dalam tahun 1960-an setelah bangunan ini dibaiki atas daya usaha Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Kemudian Istana Kenangan diduduki oleh keluarga  Diraja  Perak  sehingga  tahun 1982. Almarhum Sultan Idris II telah berkenan menyerahkan Istana Kenangan untuk diletakkan  di bawah pengawasan Jabatan Muzium dan Antikuiti.

Pada tahun 1986, Istana Kenangan telah dijadikan Muzium DiRaja Kuala Kangsar di bawah pentadbiran kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan. Pada 16 November 1986, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah berkenan merasmikan Muzium DiRaja Kuala Kangsar dan pada 9 Mac 2009, ia telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Sejarah.

София plus.google.com/102831918332158008841 EMSIEN-3