Saiz Teks

MUZIUM DARUL RIDZUAN

SEJARAH DAN LATAR BELAKANG

Bangunan yang beralamatkan No. 17, Jalan Douglas ini mempunyai ciri-ciri rekabentuk Inggeris dan masih mengekalkan rekabentuk senibina asalnya. Bangunan ini mempunyai lapan buah bilik di tingkat atas dan dua buah bilik lagi di tingkat bawah. Di sebelah belakang bangunan ini terdapat empat buah bilik yang pada masa pembinaannya menempatkan bilik tukang masak, pemandu, tukang kebun dan tukang gunting.

Bangunan ini dibina di kawasan seluas kira-kira empat ekar. Selain itu terdapat dua buah kubu perlindungan serangan udara (airaid shelter) dibina pada tahun 1940 bagi perlindungan udara kepada lebih kurang 40 orang penghuni bangunan ini dan pekerja-pekerja yang tinggal di persekitarannya.

Bangunan Muzium Darul Ridzuan dibina pada tahun 1926 sebagai tempat kediaman. Sumber lisan dinyatakan bahawa tapak tanah di mana bangunan ini dibina, dikatakan pernah menjadi sebahagian daripada perkampungan orang Melayu dan pembesar-pembesar Melayu di tebing Sungai Kinta. Pada masa itu, Sungai Kinta sering mengalami banjir dan banjir yang terbesar berlaku pada tahun 1926 telah menyebabkan orang-orang Melayu yang menduduki kawasan sekitarnya telah menjual tanah mereka dan berpindah beramai-ramai. Salah satu daripada tanah yang terjual itu adalah tapak bangunan ini.

Kubu perlindungan udara dibina dari batu-bata dan simen konkrit yang tebal sebagai persaiapan untuk menghadapi serangan udara dari tentera Jepun, menjelang Perang Dunia Kedua. Salah satu daripada kubu perlindungan udara ini terletak di bahagian belakang bangunan yang mempunyai terowong kira-kira 50 kaki panjang dan 20 kaki di bawah tanah. Menurut sumber lisan, kubu perlindungan udara tersebut pernah digunakan sebanyak dua kali iaitu semasa kapal terbang Jepun berlegar di udara pada tahun 1941.

Bangunan ini juga pernah dijadikan markas pentadbiran oleh pihak Inggeris dan Jepun. Setelah kemerdekaan dicapai, bangunan ini telah dijadikan sebuah pejabat kerajaan iaitu Oejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri Perak di tingkat atas dan Pejabat Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Perak di tingkat bawah. Setelah bangunan Kompleks Islam siap dibina awal tahun 1989, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri Perak telah dipindahkan ke kompleks tersebut dan Pejabat Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Perak pula dipindahkan ke bangunan Seri Kinta.

Pada awal 1991, bangunan ini telah mula diubahsuai rekabentuk dalamannya dan di beri nama Muzium Darul Ridzuan dan telaj dirasmikan pembukaannya pada 18 Ogos 1992 oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

 

 

  

София plus.google.com/102831918332158008841 EMSIEN-3